Friday 14 April 2017

Anak Muda Perlu Daftar Segera Sebagai Pemilih

BAGI menggalakkan siswa memainkan peranan mereka dalam pilihan raya umum dijangka tidak lama lagi, pelbagai usaha dilakukan.
Di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) misalnya, semua penuntutnya diminta supaya segera mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan datang.

Naib Canselor Utem, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini mendapati 4.2 juta rakyat Malaysia sudah layak mengundi tidak mendaftar sebagai pemilih.

“Laporan itu juga menyebut dari jumlah tersebut 40 peratus merupakan golongan muda termasuk penuntut universiti.

“Golongan muda terutamanya para penuntut merupakan tonggak masa depan yang menentukan perjalanan dan kemajuan sesebuah negara. Sekiranya tidak mendaftar maka perubahan diimpikan tidak mungkin dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah di Kampus Induk Utem Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Izaidin Abdul Majid dan Pengarah SPR Melaka, Haelmy Mohd Hanifah.

Shahrin berkata, siswa Utem perlu mendaftar sebagai pemilih bagi memastikan golongan tersebut peka dengan amalan demokrasi diamalkan di negara ini serta faham mengenai sistem pentadbiran negara.
Menurutnya lagi, golongan penuntut perlu sedar bahawa mendaftar sebagai pemilih dan mengundi semasa PRU merupakan tanggungjawab setiap rakyat di negara ini.

“Oleh demikian, Utem turut mengambil inisiatif bagi memainkan peranan menggalakkan pelajarnya mendaftar sebagai pemilih dengan mengadakan pelbagai program bersama SPR termasuk membuka kaunter pendaftaran pemilih," katanya.

Jelas Shahrin, antara program dianjurkan itu termasuk Program Pendidikan Pengundi Dalam Urusan Pilihan Raya bertujuan memberi pendedahan berkaitan asas pengurusan demokrasi dan pilihan raya kalangan penuntut Utem.

Kurang minat

Yang Dipertua MPP Utem, Abdul Hanif Abdul Rani, 22, pula berkata, program bersama SPR bagi kempen daftar sebagai pengundi di kalangan siswa Utem ini berlangsung dengan jayanya.

"Alhamdulillah sambutan memberangsangkan dan ramai mendaftar. Pada pendapat saya, mahasiswa cukup sedar betapa pentingnya mengundi.

"Faktor mahasiswa itu mengundi disebabkan oleh parti politik itu sendiri. Bagaimana mereka approach (dekati) mahasiswa dan apa yang mereka tawarkan untuk anak muda dan generasi akan datang," katanya.

Jujur tidak dapat memberikan peratus mahasiswa ambil kisah hal pilihan raya di negara ini amnya dan pilihan raya MPP di kampus khususnya, Hanif berkata, dia cuma boleh mengatakan tahap kesedaran mengundi sangat tinggi di IPT yang mempunyai jurusan seperti undang-undang dan sains politik atau sosial.

Manakala di IPT yang tidak mempunyai jurusan tersebut adalah kurang menonjol terhadap pembabitan mahasiswa dalam politik luar.

"Seperti saya katakan tadi, faktor peratusan pengundi adalah dipengaruhi oleh individu atau parti politik itu sendiri.

"Jika tanya sama ada, ada kaitan atau tidak pilihan raya MPP dalam kampus, dengan pilihan raya parti politik sebenar di luar kampus, bagi saya kaitannya adalah minima. Apa jua agenda dibawa oleh mahasiswa bertanding adalah untuk diselesaikan di peringkat universiti, bukan negara ataupun kebangsaan," katanya.

Menurutnya, kewujudan unsur politik sebenar di dalam kampus hanyalah sekadar ideologi masing-masing. Akan tetapi, ia mengajar mahasiswa menjadi seperti pemimpin negara sedia ada dan mewujudkan sikap profesional kalangan mahasiswa.

Hanif berkata, baginya jika seseorang siswa tidak mahu mengundi, ia adalah kerana kurang minat.

"Bukan minat kepada pilihan raya tetapi pada wakil itu sendiri. Mereka hendaklah tawar kepada siswa seperti kami, kebaikan dinikmati, bukan hanya untuk kamu tapi generasi akan datang.

"Jika ingin bercerita mengenai kesedaran, semua orang sedar betapa pentingnya undi. Tiada pengundi, tiadalah pentadbiran negara, tiadalah kerajaan dan tiadalah universiti serta tiadalah pemimpin. Semua tertakluk kepada parti itu sendiri. Merekalah pemimpin kami," kata penuntut Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan
Komputer ini.    

Terbuka minda

Sementara itu di Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam, Penolong Pengarah Pilihan Raya Kampus Unisel, Shah Alam, Muhammad Al Hafiz Abdul Rahman berkata, bagi tahun 2015 pihaknya mula membuat proses mendemokrasikan siswa penuntut bagi tahun pertama.

Menurutnya, hasilnya pada tahun 2016 penuntut turun mengundi adalah lebih kurang 13 peratus, meningkat tiga peratus dari tahun sebelumnya.         

"Bagi tahun 2017 ini, kita nampak penglibatan penuntut menjadi calon MPP sangat drastik. Pada tahun lepas, hanya satu kerusi (fakulti) umum dicalonkan, tiada saingan dengan fakulti lain. Tapi tahun ini kesemua kerusi dipertandingkan, kecuali satu saja yang tak bertanding.

"Kali ini siswa lebih bersiap sedia dan nampak kepentingan MPP itu. Kita di peringkat HEP ini sudah cuba menguar-uarkan mengenai demokrasi kepada mereka, sebelum mereka keluar melihat situasi (politik) pilihan raya sebenar. Kita beri kebebasan mereka berdemokrasi dan berpolitik dalam universiti," katanya sebelum majlis Watikah Pelantikan dan Penghargaan MPP Unisel, Kampus Bestari Jaya.
Terdahulu berlangsungnya majlis perasmian Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (Iesad), di Unisel Kampus Shah Alam, baru-baru ini.

Hafiz berkata, siswa Unisel juga kini dilihat mempunyai inisiatif sendiri untuk sertai MPP dan mempunyai jentera penggerak.

"Jika pengalaman saya sendiri di IPTA memang betul kita bersungguh dalam perkara ini hinggakan buat manifesto di tempat-tempat seperti di kafe dan ramai turun padang.

"Berbeza di IPTS, penglibatan siswa sedikit. Tapi di Unisel khususnya siswa sudah terbuka minda untuk melihat siapa MPP. Baru-baru ini kita ada buat sesi pengenalan calon, tahun ini penglibatan siswa sangat berbeza dengan berarak... dan nampak lebih cakna. Kalau di IPTA, penglibatan siswa ini memang dah lama. Apa pun sama ada di IPTA atau IPTS, matlamat membawa aspirasi melalui MPP ini sama penting," katanya.

Menurutnya, peranan MPP penting supaya suara mereka dapat dibawa ke peringkat atasan.

-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Cikgu Salihin Mahu Lahirkan Grand Master Catur Pertama Malaysia

Pemuda ISMA bersama rombongan agensi lain melawat kediaman Cikgu Salihin BERITA | PEMUDA ISMA MELAWAT KELUARGA JAGUH CILIK CATUR...