Saturday 22 April 2017

Demi Membawa Anak Bertanding Di Peringkat Dunia, Bapa Ini Sanggup Menjual Rumah





Kuala Lumpur: “Apa saja untuk anak-anak, saya sanggup lakukan,” kata bapa kepada sembilan anak, Salihin Ahmad, 45, yang juga guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang.
Demi kasih sayang kepada anak-anaknya, dia dan isteri, Nor Zamilahton Zakaria, 39, sanggup menjual rumah kedua yang dimiliki sejak 17 tahun lalu di Segamat, Johor dengan harga RM65,000.
Tujuannya, untuk menampung kos perjalanan ke Iasi, Romania, supaya dua anaknya, Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, dapat menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017.
"Kami buat keputusan jual rumah itu sebab Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Klang kata mereka tiada peruntukan untuk individu.
"Saya ada hantar surat permohonan kepada Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang kemudian berjanji menyumbang RM3,000," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Salihin berkata, rumah itu sebelum ini disewakan dan mereka sekeluarga kini menetap di Klang, Selangor.
Sementara itu, dua anaknya itu masing-masing anak pertama dan keenam akan bertanding dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah 7 tahun dalam pertandingan bermula esok sehingga 1 Mei nanti.
"Afiqah muncul juara kebangsaan bawah 6 tahun pada usia 5 dan 6 tahun dan tahun ini juara kebangsaan bawah 8 tahun. Jadi saya melihat potensi dirinya yang juga pernah mengalahkan peserta bawah 18 tahun.
"Kali pertama anak-anak menyertai kejohanan di luar negara adalah pada Mei dan Ogos tahun lalu dengan perbelanjaan sendiri termasuk bantuan pihak-pihak tertentu bagi menampung perbelanjaan," katanya yang juga Pengerusi Teknik dan Pembangunan Catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Klang.
Salihin berkata, dia sudah 20 tahun terlibat dalam menghasilkan dan melatih pemain catur, namun tidak menyangka, prestasi anak-anaknya ketika ini berada pada tahap terbaik.
"Saya mengetahui yang nama empat anak saya tersenarai ke kejohanan dunia ini pada September tahun lalu selepas masing-masing meraih kejayaan yang cukup membanggakan.
"Disebabkan kekurangan bajet, anak keempat dan kelima, Alya Izzati, 10, dan Farah Liyana, 9, tidak dapat turut serta ke pertandingan ini," katanya yang turut diiringi pegawai dari Persekutuan Catur Malaysia (MCF).
Salihin berkata, dia berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan anak-anaknya dalam kejohanan itu sekaligus dapat mengharumkan nama negara.

Sumber : Harian Metro
Pautan Asal : http://www.hmetro.com.my/node/223444

No comments:

Post a Comment

Cikgu Salihin Mahu Lahirkan Grand Master Catur Pertama Malaysia

Pemuda ISMA bersama rombongan agensi lain melawat kediaman Cikgu Salihin BERITA | PEMUDA ISMA MELAWAT KELUARGA JAGUH CILIK CATUR...