Friday 5 May 2017

Cikgu Salihin Mahu Lahirkan Grand Master Catur Pertama Malaysia



Pemuda ISMA bersama rombongan agensi lain melawat kediaman Cikgu Salihin


BERITA | PEMUDA ISMA MELAWAT KELUARGA JAGUH CILIK CATUR NEGARA
KLANG, 5 Mei – Pemuda ISMA telah melawat kediaman keluarga Cikgu Salihin di rumahnya, Kampung Sungai Udang semalam bersama rombongan di bawah agensi ISMA yang lain. Rombongan yang diketuai oleh Saudara Anas Hj Adnan selaku Pemuda ISMA Cawangan Klang itu tiba pada jam 8 malam.

Lawatan itu, telah disambut baik oleh keluarga Cikgu Salihin, bagi menjalinkan silaturrahim dan pada masa yang sama memberikan penghargaan di atas jasa dan pengorbanan beliau dalam mengharumkan nama negara di peringkat dunia dalam kejohanan catur baru-baru ini yang disertai oleh lebih 500 murid dan pelajar dari 40 buah negara.
Cikgu Salihin bersama Cikgu Nidzam, Wakil Kelab Remaja ISMA dan Saudara Anas, Ketua Pemuda ISMA Klang


Dalam pertemuan itu, Cikgu Salihin berkongsi hasratnya mahu kesemua anaknya menjadi pemain catur sehingga tahap GrandMaster, iaitu peringkat tertinggi di dalam sukan catur yang masih tidak ada lagi di Malaysia waktu ini. Beliau juga mengatakan, banyak negara-negara maju seperti Rusia dan Romania menjadikan sukan catur ini sebagai kerjaya profesional. Namun, di negara kita masih belum sampai ke tahap itu.
“Kamu main untuk kalah. Dari kekalahan itu kamu akan belajar sesuatu untuk menjadi pemenang. Bila mereka sudah tahu bermain, minat itu akan timbul dengan sendirinya. ” ujar beliau berkongsi rahsia dalam menanamkan minat anak-anak di dalam sukan catur sejak kecil. Permainan catur ini juga dapat merapatkan hubungan di antara Ibu Bapa dan anak, berbeza dengan sukan yang lain, kerana kita akan memberikan tumpuan kepada setiap seorang daripada mereka.

Cikgu Salihin bersama isteri dan sembilan anak-anaknya

“Niat kami membuat liputan mengenai kisah Cikgu ini bagi masyarakat dapat mengambil inspirasi atas pengorbanan dan jasa Cikgu dalam melahirkan jaguh negara dan mengangkat martabat sukan catur di Malaysia.” Ucap wakil Pemuda ISMA Klang sebagai menutup pertemuan mereka pada malam itu.
Di kesempatan itu juga, Cikgu Salihin melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan seluruh rakyat Malaysia kepada mereka sekeluarga, terutama kepada wartawan Harian Metro, Pemuda ISMA dan lain-lain sejak daripada awal kejohanan sehinggalah akhir tidak putus-putus mendoakan dan telah membantu dari pelbagai sudut.
Disediakan Oleh : Zabidi Hj Azhar
Wakil Pemuda ISMA Klang

Wednesday 3 May 2017

AWAS ! Penjenayah Siber Sedang Mencuri Identiti Anda




Pengenalan
Jenayah siber kini telah menjadi ancaman yang paling serius kepada pembangunan sosio ekonomi dan keselamatan negara. Ancaman ini telah berpindah dari platform fizikal kepada platform maya.
Internet dan teknologi telah bergabung menjadi pedang dua mata yang boleh digunakan untuk tujuan menawarkan peluang pembangunan dan juga menawarkan peluang untuk melakukan jenayah.
Peningkatan insiden jenayah siber berpotensi untuk melumpuhkan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Kecurian identiti sebagai jenayah yang serius

Di bawah undang-undang Malaysia, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233, adalah menjadi satu kesalahan apabila seorang individu mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan niat untuk melakukan penipuan atau khianat.
Perenggan di atas membawa maksud bahawa mana-mana individu yang mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan menggunakan identiti individu lain untuk tujuan penipuan atau khianat adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan denda maksima RM 300,000.00 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Kerajaan Malaysia melihat jenayah kecurian identiti ini sebagai satu jenayah yang serius yang boleh memusnahkan kewangan, sejarah kredit dan reputasi mangsa dalam sekelip mata. Ia juga mengakibatkan kerosakan yang besar dalam kehidupan seseorang, yang mana ia memerlukan masa, wang dan kesabaran untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan kecurian identiti ini.
Definisi Kecurian Identiti
Kecurian identiti berlaku apabila seseorang mencuri maklumat dan menggunakannya tanpa kebenaran untuk sebarang tujuan.  Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia dan jantina. Malah, ada juga kes yang berlaku melibatkan identiti individu yang telah meninggal dunia.
Bagaimana ia berlaku?
Penjenayah siber hari ini, beroperasi dengan licik. Mereka mempunyai pelbagai sumber dan kaedah untuk mendapatkan maklumat berkaitan identiti mangsa. Mereka tidak lagi melakukan jenayah ini secara sendirian.
Mereka cenderung untuk bekerja secara bersindiket. Kumpulan sindiket terancang sebegini, sukar untuk dibanteras kerana mereka professional dan mempunyai motivasi yang tinggi.
Mereka sanggup untuk menyelongkar tong sampah mangsa untuk mendapatkan maklumat seperti bil utiliti, bilk kad kredit, penyata kewangan dan sebagainya. Mereka juga sanggup menyamar sebagai pekerja daripada organisasi yang sah seperti daripada syarikat perbankan, perubatan dan juga pejabat kerajaan semata-mata untuk untuk memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi mangsa, setelah mangsa tertipu dan mempercayai penyamaran tersebut.
Di ruang siber pula, terdapat 4 jenis modus operandi yang digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan maklumat peribadi iaitu:
  1. Menggunakan teknik penggodaman
  2. Menggunakan teknik curi secara fizikal (curi komputer laptop, telefon pintar, dsb)
  3. Menggunakan teknik kejuruteraan sosial (penyamaran melalui telefon, email dan fizikal)
  4. Menggunakan teknik sosial media (manipulasi maklumat melalui laman web sosial media)
Apa yang mereka boleh lakukan dengan identiti yang telah berjaya dicuri?
Sekiranya penjenayah telah berjaya mendapatkan maklumat yang boleh digunakan untuk membangunkan sesuatu identiti, penjenayah boleh melakukan pelbagai aktiviti sama ada sah atau yang tidak sah di sisi perundangan Malaysia.
Antaranya:
  1. Penjenayah boleh mengosongkan akaun bank dan kad kredit mangsa
  2. Penjenayah boleh memfailkan permohonan untuk mendapatkan kad kredit, pinjaman kewangan, insuran atau hartanah
  3. Penjenayah boleh memohon untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi spt talian telefon, internet atau broadband
  4. Penjenayah boleh memohon untuk mendapatkan pekerjaan
  5. Penjenayah boleh memohon untuk mendapatkan hak kewarganegaraan
  6. Penjenayah boleh melarikan diri dari pihak berkuasa dengan menggunakan identiti yang dicuri
  7. Penjenayah boleh melakukan jenayah dengan menggunakan identiti yang dicuri

Bagaimana untuk mengesan jenayah ini?
Salah satu cara untuk mengesannya adalah dengan melakukan pemantauan yang aktif terhadap pergerakan kewangan atau apa-apa perkara yang memerlukan pengesahan identiti kita.
Melalui pemantauan ini, kita akan mengenalpasti sekiranya ada berlaku:
  1. Pengeluaran tunai daripada akaun bank yang tidak dapat disahkan
  2. Caj dalam laporan kad kredit yang tidak dapat disahkan
  3. Panggilan daripada pengutip hutang atau penyedia perkhidmatan perubatan
  4. Tuntutan perubatan yang sah ditolak oleh penyedia perkhidmatan perubatan atas sebab sudah mencapai tahap maksima
  5. Cek bank anda tidak diterima
  6. Ditahan atas kesalahan jenayah yang bukan dilakukan oleh kita
Sekiranya perkara di atas berlaku, maka kita hendaklah dengan segera melakukan pemeriksaan yang teliti untuk mengenal pasti sejauh mana kerosakan yang telah berlaku.
Ini memerlukan masa dan tenaga untuk membetulkan keadaan ini semula.
Bagaimana untuk bertindak balas terhadap insiden sebegini?
Sekiranya kita menjadi mangsa kepada jenayah sebegini, tugas untuk membetulkan maklumat yang telah dimanipulasi (maklumat kewangan atau peribadi) dan juga untuk memulihkan reputasi  serta nama baik, adalah satu tugas yang sukar .
Mangsa kecurian identiti hendaklah bersabar dan berfikir secara rasional dan positif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini.
Mangsa perlu melaporkan perkara ini dengan syarikat kredit, dengan agensi peminjam, agensi percukaian, penyedia perkhidmatan perubatan dan sebagainya pada kadar segera. Mangsa mungkin perlu untuk mengisi borang-borang tertentu dan ia mengambil masa yang lama untuk diproses.
Untuk memudahkan urusan bertindak balas dengan masalah ini, kerajaan telah menubuhkan pusat rujukan mangsa kecurian identiti untuk membantu mangsa dalam usaha ini. Maklumat tersebut boleh diperolehi di:
1) Laman web Communication and Multimedia Consumer Forum of Malaysia
2) Laman web MyCERT CYBER999
Bagaimana untuk mencegah perkara ini daripada berlaku?
Adalah sukar untuk mencegah jenayah ini daripada berlaku sekiranya kita tidak menguruskan maklumat peribadi kita dengan baik. Malah, kes ini selalunya berlaku tanpa mangsa menyedarinya. Pada saat mangsa menyedarinya, kerosakan yang telah berlaku akibat daripada jenayah curi identiti ini sudah berada pada tahap maksima.
Terdapat banyak kaedah untuk mencegah daripada menjadi mangsa kecurian identiti.
Antara amalan baik yang diamalkan ialah:
1) Kerap memeriksa maklumat berkaitan kewangan
2) Berwaspada dengan penyamar atas talian
  • Pastikan kita tahu siapa yang memperoleh maklumat berkaitan kewangan dan peribadi kita di atas talian.
  • Jangan buka email yang meragukan.
  • Jangan klik pada pautan URL yang meragukan.
  • Berhati-hati dengan medium komunikasi kerana matlamat penjenayah adalah untuk mendapatkan maklumat melalui panggilan telefon, emails dan mesej teks.
3) Lindungi komputer dan peranti mudah alih
  • Gunakan perisian anti virus, anti spyware dan juga firewall yang berbayar. Perisian percuma tidak berupaya untuk mengekang usaha penjenayah untuk mencuri maklumat atau identiti.
  • Jangan buka, klik pada pautan atau memuat turun program yang dihantar oleh orang yang tidak dikenali
  • Musnahkan maklumat peribadi dengan betul dan selamat
4) Lindungi data dan maklumat peribadi
  • Enkrip data
  • Baca polisi kerahsiaan
  • Rahsiakan kata laluan anda
  • Jangan ‘terlebih kongsi’ dalam laman web sosial media
  • Gunakan sambungan WiFi dengan bijak. Jangan lakukan transaksi kewangan di persekitaran yang tidak terkawal seperti di kafe siber atau di free WiFi hot spot.
  • Kunci computer laptop anda.
  • Kunci peti surat anda.
Kesimpulan
Jenayah kecurian identiti adalah sesuatu yang serius dan boleh menyebabkan kerosakan serta kerugian yang besar. Bertindak segera sekiranya anda menjadi mangsa.
Tugas untuk mengesan, menangkap dan membawa mereka ke muka pengadilan adalah satu cabaran yang besar dengan kebarangkalian untuk berjaya yang kecil.
Oleh itu, kaedah pencegahan adalah yang terbaik untuk menangani masalah kecurian identiti ini.
Klik dengan bijak.
Be smart and be safe.
Reference:

Tuesday 2 May 2017

Saintis Muda Negara Ingin Pulang Berbakti Kepada Anak Bangsa





KUALA LUMPUR
: Saintis muda negara yang bersama-sama kumpulannya berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta, Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, bercadang pulang ke Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bidang astronomi.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) jurusan Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom (UK) itu berkata beliau telah lama memasang niat untuk menjadi pensyarah bagi melahirkan lebih ramai saintis dalam bidang berkenaan setelah tamat pengajian kelak.

"Ini secara tidak langsung sebagai penghargaan kepada pendidikan negara yang memberi peluang kepada saya sehingga ke tahap kini.. pada asalnya saya memikirkan bidang ini kurang menyediakan prospek pekerjaan di Malaysia, namun di luar negara sangat banyak peluang pekerjaan yang disediakan dalam bidang ini.

"Sehubungan itu, harapan saya apabila menjadi pensyarah di universiti tempatan dalam bidang ini sekaligus menghasilkan lebih ramai pelajar yang terlibat dalam bidang ini dan mencipta lebih ramai tenaga serta dari situ akan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini mampu ditawarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Warasa Supernova yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari.

Pada majlis itu Nur Adlyka yang merupakan bekas pelajar sekolah tersebut diberi penghargaan oleh MOSTI kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sekaligus menyuntik semangat anak-anak muda untuk meminati bidang astrofizik dan astronomi.

Beliau yang bakal menamatkan pengajian PhD antara Ogos dan September ini turut berharap agar kejayaannya memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik astrofizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang berkenaan di negara ini agar standing di mata dunia.

Anak kelahiran Muar itu merupakan antara sekumpulan pakar astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif di sebuah galaksi yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari bumi.

Wanita itu membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk ''Black Holes, Green Galaxies, Old Stars and NuSTARs'' pada perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat ke-229 awal tahun ini.

Nur Adlyka juga merupakan saintis teleskop X-ray terbaru di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) sejak tahun 2014 sehingga kini.

Anak kedua daripada empat beradik itu mula minat menceburi bidang Astronomi dan Astrofizik ketika berusia 13 tahun setelah menonton filem ''Armageddon'' dan ''Apollo 13''.

Sementara itu, Hashim Harun, guru Fizik yang mengajar Nur Adlyka ketika di tingkatan empat dan lima berkata bekas pelajarnya itu seorang yang pendiam dan agak sukar dijangka.

"Nur Adlyka seorang pelajar yang unik, dia kurang bercakap namun banyak berfikir dan beliau gemar bertanyakan soalan yang di luar kotak. Bagaimanapun, dia tidak sombong dan gemar memberikan tunjuk ajar kepada rakan-rakannya di dalam kelas," katanya.

Guru Matematik Tambahan sekolah itu, Rodziah Abdul Hamid berkata Nur Adlyka seorang pelajar yang baik, mudah memahami apa yang diajar di dalam kelas dan rajin membantu rakan-rakannya untuk mencari jawapan dalam soalan yang sukar.

BERNAMA

Sumber : Astro Awani
Pautan Asal : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/saintis-muda-nur-adlyka-ingin-jadi-pensyarah-astronomi-di-malaysia-141395

Cikgu Salihin Mahu Lahirkan Grand Master Catur Pertama Malaysia

Pemuda ISMA bersama rombongan agensi lain melawat kediaman Cikgu Salihin BERITA | PEMUDA ISMA MELAWAT KELUARGA JAGUH CILIK CATUR...