Friday, 5 May 2017

Cikgu Salihin Mahu Lahirkan Grand Master Catur Pertama Malaysia



Pemuda ISMA bersama rombongan agensi lain melawat kediaman Cikgu Salihin


BERITA | PEMUDA ISMA MELAWAT KELUARGA JAGUH CILIK CATUR NEGARA
KLANG, 5 Mei – Pemuda ISMA telah melawat kediaman keluarga Cikgu Salihin di rumahnya, Kampung Sungai Udang semalam bersama rombongan di bawah agensi ISMA yang lain. Rombongan yang diketuai oleh Saudara Anas Hj Adnan selaku Pemuda ISMA Cawangan Klang itu tiba pada jam 8 malam.

Lawatan itu, telah disambut baik oleh keluarga Cikgu Salihin, bagi menjalinkan silaturrahim dan pada masa yang sama memberikan penghargaan di atas jasa dan pengorbanan beliau dalam mengharumkan nama negara di peringkat dunia dalam kejohanan catur baru-baru ini yang disertai oleh lebih 500 murid dan pelajar dari 40 buah negara.
Cikgu Salihin bersama Cikgu Nidzam, Wakil Kelab Remaja ISMA dan Saudara Anas, Ketua Pemuda ISMA Klang


Dalam pertemuan itu, Cikgu Salihin berkongsi hasratnya mahu kesemua anaknya menjadi pemain catur sehingga tahap GrandMaster, iaitu peringkat tertinggi di dalam sukan catur yang masih tidak ada lagi di Malaysia waktu ini. Beliau juga mengatakan, banyak negara-negara maju seperti Rusia dan Romania menjadikan sukan catur ini sebagai kerjaya profesional. Namun, di negara kita masih belum sampai ke tahap itu.
“Kamu main untuk kalah. Dari kekalahan itu kamu akan belajar sesuatu untuk menjadi pemenang. Bila mereka sudah tahu bermain, minat itu akan timbul dengan sendirinya. ” ujar beliau berkongsi rahsia dalam menanamkan minat anak-anak di dalam sukan catur sejak kecil. Permainan catur ini juga dapat merapatkan hubungan di antara Ibu Bapa dan anak, berbeza dengan sukan yang lain, kerana kita akan memberikan tumpuan kepada setiap seorang daripada mereka.

Cikgu Salihin bersama isteri dan sembilan anak-anaknya

“Niat kami membuat liputan mengenai kisah Cikgu ini bagi masyarakat dapat mengambil inspirasi atas pengorbanan dan jasa Cikgu dalam melahirkan jaguh negara dan mengangkat martabat sukan catur di Malaysia.” Ucap wakil Pemuda ISMA Klang sebagai menutup pertemuan mereka pada malam itu.
Di kesempatan itu juga, Cikgu Salihin melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan seluruh rakyat Malaysia kepada mereka sekeluarga, terutama kepada wartawan Harian Metro, Pemuda ISMA dan lain-lain sejak daripada awal kejohanan sehinggalah akhir tidak putus-putus mendoakan dan telah membantu dari pelbagai sudut.
Disediakan Oleh : Zabidi Hj Azhar
Wakil Pemuda ISMA Klang

Wednesday, 3 May 2017

AWAS ! Penjenayah Siber Sedang Mencuri Identiti Anda




Pengenalan
Jenayah siber kini telah menjadi ancaman yang paling serius kepada pembangunan sosio ekonomi dan keselamatan negara. Ancaman ini telah berpindah dari platform fizikal kepada platform maya.
Internet dan teknologi telah bergabung menjadi pedang dua mata yang boleh digunakan untuk tujuan menawarkan peluang pembangunan dan juga menawarkan peluang untuk melakukan jenayah.
Peningkatan insiden jenayah siber berpotensi untuk melumpuhkan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Kecurian identiti sebagai jenayah yang serius

Di bawah undang-undang Malaysia, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233, adalah menjadi satu kesalahan apabila seorang individu mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan niat untuk melakukan penipuan atau khianat.
Perenggan di atas membawa maksud bahawa mana-mana individu yang mendaftar perkhidmatan komunikasi dan multimedia dengan menggunakan identiti individu lain untuk tujuan penipuan atau khianat adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Malaysia dan boleh dikenakan denda maksima RM 300,000.00 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Kerajaan Malaysia melihat jenayah kecurian identiti ini sebagai satu jenayah yang serius yang boleh memusnahkan kewangan, sejarah kredit dan reputasi mangsa dalam sekelip mata. Ia juga mengakibatkan kerosakan yang besar dalam kehidupan seseorang, yang mana ia memerlukan masa, wang dan kesabaran untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan kecurian identiti ini.
Definisi Kecurian Identiti
Kecurian identiti berlaku apabila seseorang mencuri maklumat dan menggunakannya tanpa kebenaran untuk sebarang tujuan.  Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia dan jantina. Malah, ada juga kes yang berlaku melibatkan identiti individu yang telah meninggal dunia.
Bagaimana ia berlaku?
Penjenayah siber hari ini, beroperasi dengan licik. Mereka mempunyai pelbagai sumber dan kaedah untuk mendapatkan maklumat berkaitan identiti mangsa. Mereka tidak lagi melakukan jenayah ini secara sendirian.
Mereka cenderung untuk bekerja secara bersindiket. Kumpulan sindiket terancang sebegini, sukar untuk dibanteras kerana mereka professional dan mempunyai motivasi yang tinggi.
Mereka sanggup untuk menyelongkar tong sampah mangsa untuk mendapatkan maklumat seperti bil utiliti, bilk kad kredit, penyata kewangan dan sebagainya. Mereka juga sanggup menyamar sebagai pekerja daripada organisasi yang sah seperti daripada syarikat perbankan, perubatan dan juga pejabat kerajaan semata-mata untuk untuk memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi mangsa, setelah mangsa tertipu dan mempercayai penyamaran tersebut.
Di ruang siber pula, terdapat 4 jenis modus operandi yang digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan maklumat peribadi iaitu:
  1. Menggunakan teknik penggodaman
  2. Menggunakan teknik curi secara fizikal (curi komputer laptop, telefon pintar, dsb)
  3. Menggunakan teknik kejuruteraan sosial (penyamaran melalui telefon, email dan fizikal)
  4. Menggunakan teknik sosial media (manipulasi maklumat melalui laman web sosial media)
Apa yang mereka boleh lakukan dengan identiti yang telah berjaya dicuri?
Sekiranya penjenayah telah berjaya mendapatkan maklumat yang boleh digunakan untuk membangunkan sesuatu identiti, penjenayah boleh melakukan pelbagai aktiviti sama ada sah atau yang tidak sah di sisi perundangan Malaysia.
Antaranya:
  1. Penjenayah boleh mengosongkan akaun bank dan kad kredit mangsa
  2. Penjenayah boleh memfailkan permohonan untuk mendapatkan kad kredit, pinjaman kewangan, insuran atau hartanah
  3. Penjenayah boleh memohon untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi spt talian telefon, internet atau broadband
  4. Penjenayah boleh memohon untuk mendapatkan pekerjaan
  5. Penjenayah boleh memohon untuk mendapatkan hak kewarganegaraan
  6. Penjenayah boleh melarikan diri dari pihak berkuasa dengan menggunakan identiti yang dicuri
  7. Penjenayah boleh melakukan jenayah dengan menggunakan identiti yang dicuri

Bagaimana untuk mengesan jenayah ini?
Salah satu cara untuk mengesannya adalah dengan melakukan pemantauan yang aktif terhadap pergerakan kewangan atau apa-apa perkara yang memerlukan pengesahan identiti kita.
Melalui pemantauan ini, kita akan mengenalpasti sekiranya ada berlaku:
  1. Pengeluaran tunai daripada akaun bank yang tidak dapat disahkan
  2. Caj dalam laporan kad kredit yang tidak dapat disahkan
  3. Panggilan daripada pengutip hutang atau penyedia perkhidmatan perubatan
  4. Tuntutan perubatan yang sah ditolak oleh penyedia perkhidmatan perubatan atas sebab sudah mencapai tahap maksima
  5. Cek bank anda tidak diterima
  6. Ditahan atas kesalahan jenayah yang bukan dilakukan oleh kita
Sekiranya perkara di atas berlaku, maka kita hendaklah dengan segera melakukan pemeriksaan yang teliti untuk mengenal pasti sejauh mana kerosakan yang telah berlaku.
Ini memerlukan masa dan tenaga untuk membetulkan keadaan ini semula.
Bagaimana untuk bertindak balas terhadap insiden sebegini?
Sekiranya kita menjadi mangsa kepada jenayah sebegini, tugas untuk membetulkan maklumat yang telah dimanipulasi (maklumat kewangan atau peribadi) dan juga untuk memulihkan reputasi  serta nama baik, adalah satu tugas yang sukar .
Mangsa kecurian identiti hendaklah bersabar dan berfikir secara rasional dan positif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini.
Mangsa perlu melaporkan perkara ini dengan syarikat kredit, dengan agensi peminjam, agensi percukaian, penyedia perkhidmatan perubatan dan sebagainya pada kadar segera. Mangsa mungkin perlu untuk mengisi borang-borang tertentu dan ia mengambil masa yang lama untuk diproses.
Untuk memudahkan urusan bertindak balas dengan masalah ini, kerajaan telah menubuhkan pusat rujukan mangsa kecurian identiti untuk membantu mangsa dalam usaha ini. Maklumat tersebut boleh diperolehi di:
1) Laman web Communication and Multimedia Consumer Forum of Malaysia
2) Laman web MyCERT CYBER999
Bagaimana untuk mencegah perkara ini daripada berlaku?
Adalah sukar untuk mencegah jenayah ini daripada berlaku sekiranya kita tidak menguruskan maklumat peribadi kita dengan baik. Malah, kes ini selalunya berlaku tanpa mangsa menyedarinya. Pada saat mangsa menyedarinya, kerosakan yang telah berlaku akibat daripada jenayah curi identiti ini sudah berada pada tahap maksima.
Terdapat banyak kaedah untuk mencegah daripada menjadi mangsa kecurian identiti.
Antara amalan baik yang diamalkan ialah:
1) Kerap memeriksa maklumat berkaitan kewangan
2) Berwaspada dengan penyamar atas talian
  • Pastikan kita tahu siapa yang memperoleh maklumat berkaitan kewangan dan peribadi kita di atas talian.
  • Jangan buka email yang meragukan.
  • Jangan klik pada pautan URL yang meragukan.
  • Berhati-hati dengan medium komunikasi kerana matlamat penjenayah adalah untuk mendapatkan maklumat melalui panggilan telefon, emails dan mesej teks.
3) Lindungi komputer dan peranti mudah alih
  • Gunakan perisian anti virus, anti spyware dan juga firewall yang berbayar. Perisian percuma tidak berupaya untuk mengekang usaha penjenayah untuk mencuri maklumat atau identiti.
  • Jangan buka, klik pada pautan atau memuat turun program yang dihantar oleh orang yang tidak dikenali
  • Musnahkan maklumat peribadi dengan betul dan selamat
4) Lindungi data dan maklumat peribadi
  • Enkrip data
  • Baca polisi kerahsiaan
  • Rahsiakan kata laluan anda
  • Jangan ‘terlebih kongsi’ dalam laman web sosial media
  • Gunakan sambungan WiFi dengan bijak. Jangan lakukan transaksi kewangan di persekitaran yang tidak terkawal seperti di kafe siber atau di free WiFi hot spot.
  • Kunci computer laptop anda.
  • Kunci peti surat anda.
Kesimpulan
Jenayah kecurian identiti adalah sesuatu yang serius dan boleh menyebabkan kerosakan serta kerugian yang besar. Bertindak segera sekiranya anda menjadi mangsa.
Tugas untuk mengesan, menangkap dan membawa mereka ke muka pengadilan adalah satu cabaran yang besar dengan kebarangkalian untuk berjaya yang kecil.
Oleh itu, kaedah pencegahan adalah yang terbaik untuk menangani masalah kecurian identiti ini.
Klik dengan bijak.
Be smart and be safe.
Reference:

Tuesday, 2 May 2017

Saintis Muda Negara Ingin Pulang Berbakti Kepada Anak Bangsa





KUALA LUMPUR
: Saintis muda negara yang bersama-sama kumpulannya berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta, Nur Adlyka Ainul Annuar, 27, bercadang pulang ke Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bidang astronomi.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) jurusan Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom (UK) itu berkata beliau telah lama memasang niat untuk menjadi pensyarah bagi melahirkan lebih ramai saintis dalam bidang berkenaan setelah tamat pengajian kelak.

"Ini secara tidak langsung sebagai penghargaan kepada pendidikan negara yang memberi peluang kepada saya sehingga ke tahap kini.. pada asalnya saya memikirkan bidang ini kurang menyediakan prospek pekerjaan di Malaysia, namun di luar negara sangat banyak peluang pekerjaan yang disediakan dalam bidang ini.

"Sehubungan itu, harapan saya apabila menjadi pensyarah di universiti tempatan dalam bidang ini sekaligus menghasilkan lebih ramai pelajar yang terlibat dalam bidang ini dan mencipta lebih ramai tenaga serta dari situ akan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini mampu ditawarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Warasa Supernova yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari.

Pada majlis itu Nur Adlyka yang merupakan bekas pelajar sekolah tersebut diberi penghargaan oleh MOSTI kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sekaligus menyuntik semangat anak-anak muda untuk meminati bidang astrofizik dan astronomi.

Beliau yang bakal menamatkan pengajian PhD antara Ogos dan September ini turut berharap agar kejayaannya memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik astrofizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang berkenaan di negara ini agar standing di mata dunia.

Anak kelahiran Muar itu merupakan antara sekumpulan pakar astronomi dunia yang berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam supermasif di sebuah galaksi yang terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari bumi.

Wanita itu membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk ''Black Holes, Green Galaxies, Old Stars and NuSTARs'' pada perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat ke-229 awal tahun ini.

Nur Adlyka juga merupakan saintis teleskop X-ray terbaru di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) sejak tahun 2014 sehingga kini.

Anak kedua daripada empat beradik itu mula minat menceburi bidang Astronomi dan Astrofizik ketika berusia 13 tahun setelah menonton filem ''Armageddon'' dan ''Apollo 13''.

Sementara itu, Hashim Harun, guru Fizik yang mengajar Nur Adlyka ketika di tingkatan empat dan lima berkata bekas pelajarnya itu seorang yang pendiam dan agak sukar dijangka.

"Nur Adlyka seorang pelajar yang unik, dia kurang bercakap namun banyak berfikir dan beliau gemar bertanyakan soalan yang di luar kotak. Bagaimanapun, dia tidak sombong dan gemar memberikan tunjuk ajar kepada rakan-rakannya di dalam kelas," katanya.

Guru Matematik Tambahan sekolah itu, Rodziah Abdul Hamid berkata Nur Adlyka seorang pelajar yang baik, mudah memahami apa yang diajar di dalam kelas dan rajin membantu rakan-rakannya untuk mencari jawapan dalam soalan yang sukar.

BERNAMA

Sumber : Astro Awani
Pautan Asal : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/saintis-muda-nur-adlyka-ingin-jadi-pensyarah-astronomi-di-malaysia-141395

Wednesday, 26 April 2017

Pelajar Tahfiz Yang Disebat Warden Di Kaki Meninggal Dunia




JOHOR BAHRU – Pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.05 petang tadi.

Berita kematian itu disahkan bapa mangsa, Mohd Ghaddafi Mat Karim, 43, yang berada bersama keluarga ketika menemani anak lelaki sulungnya itu dengan bacaan doa untuk
kesembuhannya.

Allahyarham pelajar 11 tahun itu sebelum ini menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan akibat dipukul pembantu warden.

Kira-kira jam 8 pagi tadi, Mohamad Thaqif Amin dijadualkan melalui proses pembedahan memotong tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman sebelum dilaporkan terpaksa
ditangguhkan atas faktor kesihatan jantung.

Dia mengalami kemerosotan kesihatan sejak dibawa keluar dari madrasah tahfiz itu, 31 Mac lalu bukan hanya kehilangan kedua-dua belah kakinya, malah dijangkiti kuman di tangan
kanan, darah beku di tangan kiri selain sebelum ini kegagalan buah pinggang berfungsi berada dalam tahap kritikal yang ditempatkan di Wad Dependensi Tinggi, Hospital Ismail, di sini.

Pagi tadi, pembedahan bagi tangan kanan pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang dijadual dilakukan pagi ini, ditangguhkan.

Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, 38, yang memaklumkan penangguhan itu diambil atas faktor keadaan jantung Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, tidak stabil.

Tangan kanan murid 11 tahun itu dilaporkan dijangkiti kuman menyebabkan doktor di Hospital Sultan Ismail memutuskan untuk memotong tangan kanannya bagi mengelak kuman merebak.

Tangan tersebut sebelum ini telah dibedah namun masih tidak dapat diselamatkan.

Jumaat lalu, Mohamad Thaqif Amin telah  menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya pada dilaporkan masih kritikal.

Sumber : Sinar Harian




Monday, 24 April 2017

Pemuda ISMA Klang Menyatakan Sokongan Kepada Adik Afiqah Wira Catur Dunia





Hari ini, pada tarikh 23 April 2017 Jam 8 malam waktu Malaysia sedang berlangsung kejohanan catur peringkat dunia, disertai oleh seorang wakil dari Malaysia, adik Afiqah Binti Salihin yang merupakan anak kelahiran klang, Selangor.
Adik afiqah dilatih sendiri oleh ayahnya, cikgu Salihin bin Ahmad yang bekerja sebagai guru bahasa melayu di SK Sungai Udang, Klang.
Berita mengenai adik afiqah ini mendapat liputan media baru-baru ini apabila ayahnya sanggup berkorban demi kejayaan anaknya itu dengan menjual rumah miliknya di Johor dengan harga RM65 ribu.
Menurut beliau, keputusan nekad itu dibuat setelah mereka cuba memohon bantuan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Klang mengatakan mereka tiada peruntukan untuk individu
Pemuda ISMA Klang melahirkan rasa kekesalan di atas apa yang berlaku kepada cikgu Salihin, kerana beliau melihat bakat anaknya dalam sukan catur itu terpilih sehingga ke peringkat dunia. Namun, pihak kerajaan tidak memberikan sebarang bantuan kepada anak Malaysia yang berbakat ini.
Saya difahamkan, Kementerian Belia dan Sukan memohon peruntukan sebanyak RM500 Juta di dalam bajet 2017. Dengan jumlah sebanyak itu tidakkah ada sedikit bantuan yang boleh diberikan kepada mereka ?
Ini bukan pertama kali anak Malaysia yang berbakat dinafikan hak mereka untuk mencipta kejayaan di peringkat dunia, Jika di negara lain mereka mencari bakat muda untuk diberikan latihan dan sokongan. Tetapi, di negara kita sudah ada yang berbakat, tetapi tidak dipandang pula bakatnya.
Sebelum ini, saya sudah mengulas berkenaan isu ini di post yang lalu di pautan berikut : https://www.facebook.com/454121971417971/photos/a.465709913592510.1073741828.454121971417971/742264969270335/?type=3&theater
Di sini, saya ingin mengajak sekalian rakyat Malaysia yang prihatin untuk turut memberikan sokongan kepada bakat muda ini yang bakal mengharumkan nama negara di peringkat dunia.
Semoga dengan kejayaan adik Afiqah ini dapat menyuntik semangat anak muda sekaligus membuka mata pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil perhatian terhadap perkara ini.
Anas Hj Adnan
Ketua Pemuda ISMA Klang

Sunday, 23 April 2017

Malaysia Mengungguli Tempat Pertama Dalam 12 Mercu Tanda Bandar Tercantik Dunia


Setiap bandar di dunia memiliki mercu tanda tersendiri sebagai simbol dan juga daya tarikan kepada pelancong untuk bergambar. Ia juga sebagai penanda aras bagi menentukan kemajuan sesebuah bandar. Di sini kami akan senaraikan bandar-bandar tersebut.

12.Rio De Janeiro, Brazil



11. Paris, Perancis



10. Vancouver, Kanada



9. Singapura



8. Seattle, US



7. London Skyline, UK



6. Shanghai, China.



5. Los Angeles, US



4. New York, US



3. Dubai, UAE



2. Toronto, Kanada



1. Kuala Lumpur, Malaysia



Sumber : World Atlas.com
Pautan Asal : http://www.worldatlas.com/articles/12-cities-with-the-most-beautiful-skylines-in-the-world.html

Saturday, 22 April 2017

Demi Membawa Anak Bertanding Di Peringkat Dunia, Bapa Ini Sanggup Menjual Rumah





Kuala Lumpur: “Apa saja untuk anak-anak, saya sanggup lakukan,” kata bapa kepada sembilan anak, Salihin Ahmad, 45, yang juga guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang.
Demi kasih sayang kepada anak-anaknya, dia dan isteri, Nor Zamilahton Zakaria, 39, sanggup menjual rumah kedua yang dimiliki sejak 17 tahun lalu di Segamat, Johor dengan harga RM65,000.
Tujuannya, untuk menampung kos perjalanan ke Iasi, Romania, supaya dua anaknya, Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, dapat menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017.
"Kami buat keputusan jual rumah itu sebab Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Klang kata mereka tiada peruntukan untuk individu.
"Saya ada hantar surat permohonan kepada Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang kemudian berjanji menyumbang RM3,000," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Salihin berkata, rumah itu sebelum ini disewakan dan mereka sekeluarga kini menetap di Klang, Selangor.
Sementara itu, dua anaknya itu masing-masing anak pertama dan keenam akan bertanding dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah 7 tahun dalam pertandingan bermula esok sehingga 1 Mei nanti.
"Afiqah muncul juara kebangsaan bawah 6 tahun pada usia 5 dan 6 tahun dan tahun ini juara kebangsaan bawah 8 tahun. Jadi saya melihat potensi dirinya yang juga pernah mengalahkan peserta bawah 18 tahun.
"Kali pertama anak-anak menyertai kejohanan di luar negara adalah pada Mei dan Ogos tahun lalu dengan perbelanjaan sendiri termasuk bantuan pihak-pihak tertentu bagi menampung perbelanjaan," katanya yang juga Pengerusi Teknik dan Pembangunan Catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Klang.
Salihin berkata, dia sudah 20 tahun terlibat dalam menghasilkan dan melatih pemain catur, namun tidak menyangka, prestasi anak-anaknya ketika ini berada pada tahap terbaik.
"Saya mengetahui yang nama empat anak saya tersenarai ke kejohanan dunia ini pada September tahun lalu selepas masing-masing meraih kejayaan yang cukup membanggakan.
"Disebabkan kekurangan bajet, anak keempat dan kelima, Alya Izzati, 10, dan Farah Liyana, 9, tidak dapat turut serta ke pertandingan ini," katanya yang turut diiringi pegawai dari Persekutuan Catur Malaysia (MCF).
Salihin berkata, dia berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan anak-anaknya dalam kejohanan itu sekaligus dapat mengharumkan nama negara.

Sumber : Harian Metro
Pautan Asal : http://www.hmetro.com.my/node/223444

Friday, 21 April 2017

Pasport Malaysia Tangga Keempat Paling Berkuasa Dunia 2017






Passport Malaysia berada pada kedudukan keempat di peringkat global dalam senarai pasport paling berkuasa dunia di dalam satu laporan bagi tahun 2017.

Daripada laporan yang dikeluarkan, Malaysia berada di kedudukan keempat di peringkat global kerana negara Ukraine dan Uganda telah menaiktaraf  visa warganegara Malaysia bersama dengan negara Jepun dan Switzerland.

Manakala, negara Belanda, Belgium dan Luxembourg Austria, Portugal juga memberi kemudahan kepada rakyatnya untuk akses ke 156 buah negara tanpa visa.

Tempat kedua dengan 158 buah negara, Sweden, Korea Selatan dan Amerika Syarikat dan Britain, Sementara negara Denmark, Finland, Itali, Perancis, Sepanyol, Norway pula berada di tempat ketiga dengan 157 buah negara.

Kedudukan passport negara-negara Arab tersenarai seperti berikut:

UAE di tangga ke 27 - 125 negara
Kuwait di tangga ke 48 - 85 buah negara
Qatar di tangga ke 50 - 79 buah negara.
Bahrain di tangga ke 52 - 76 buah negara
Oman di tangga ke-54 -72 buah negara
Arab Saudi di tangga ke 56 - 70 buah negara
Tunisia di tangga ke 64 - 62 buah negara
Maghribi di tangga ke 71 - 55 buah negara
Mesir di tangga ke 76 -50 buah negara
Algeria di tangga ke 78 - 48  buah negara
Jordan di tangga ke 79 - 47 buah negara
Palestin di tangga ke 86 -39 buah negara
Lubnan di tangga ke 87 - 38 buah negara
Libya, Yaman dan Sudan di tangga ke 88 - 37 buah negara
Somalia di tangga ke 89 - 33 buah negara
Syria di tangga ke 90 - 31 buah negara
Iraq di tangga ke 91 - 28 buah negara

Sumber : ASWAQ Magazine
Pautan Asal : https://www.facebook.com/aswaqpress/photos/a.131882650157924.22598.121470694532453/1569791996366975/?type=3&theater

Wednesday, 19 April 2017

Kini Orang Buta Boleh Menggunakan Uber




Kerjasama Uber Dengan NCBM Memudahkan Orang Buta Menggunakan Aplikasi

Uber hari ini berbangga mengumumkan kerjasama mereka dengan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM), bagi memberi lebih ruang dan peluang buat mereka yang kurang upaya penglihatan, menggunakan perkhidmatan Uber.

Dengan kerjasama ini, NCBM akan menyediakan sesi latihan khas buat pemandu, untuk lebih memahami dan memba...ntu golongan kurang daya penglihatan menggunakan Uber dengan lebih mudah. Uber juga menyediakan kadar khas dan tambang percuma, buat ahli NCBM.

Uber dan NCBM mahu memberi lebih ruang kepada golongan kurang upaya penglihatan, untuk bergerak sendiri dan berdikari semudah sentuhan butang di skrin telefon.

Bagaimana aplikasi Uber boleh digunakan oleh pengguna kurang daya penglihatan dengan mudah, efisyen dan sendiri? Ini antara caranya:

-Fungsi bantuan kurang daya penglihatan di telefon pintar. Dengan VoiceOVer di iOS dan TalkBack di Android, pengguna boleh membuatkan peranti bercakap perkataan yang terdapat di atas skrin. Tempahan servis Uber sangat mudah digunakan dengan mengaktifkan fungsi ini.

-Bayaran tanpa tunai. Memilih wang kertas atau syiling yang tepat adalah satu perkara yang agak sukar buat golongan kurang penglihatan, jadi sistem bayaran tanpa tunai memudahkan urusan pembayaran.

-Pengangkutan bila diperlukan. Antaramuka aplikasi Uber sangat mudah digunakan, untuk membawa pengguna dari lokasi A ke lokasi B. Pengguna kurang daya penglihatan boleh bergerak sendiri menggunakan Uber, tanpa memerlukan bantuan pihak lain.

-Lokasi masa nyata. Sistem Uber menggunakan GPS sepanjang perjalanan. Pengguna boleh memastikan laluan yang digunakan adalah betul, tanpa perlu risau ditipu.

-Penggunaan samarata untuk semua. Semua pengguna Uber akan dipadankan dengan pemandu oleh sistem secara automatik. Ini mengelakkan dari sebarang diskriminasi, memastikan semua pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan Uber.

-Berkongsi lokasi dan masa ketibaan. Pengguna kurang daya penglihatan boleh berkongsi kepada rakan dan keluarga, pergerakan Uber mereka termasuk laluan dan jangkaan waktu ketibaan. Penerima boleh memeriksanya melalui pautan khas di pelayar, tidak memerlukan sebarang aplikasi.

Memahami Politik Minyak Global ; Siri Pencerahan Ekonomi




Oleh: Akmal Zulkarnain

Tajuk asal: (Siri Sejarah Ekonomi Politik Minyak – Tinjauan terhadap bagaimana cecair hitam likat ini menjadi ‘Darah’ Kapitalisma Global abad ke-21!)

Nadi ekonomi kapitalisma global abad ke 21 hari ini berdenyut kencang, dan ‘darah’nya adalah minyak. Saban hari, sebanyak 96 juta tong minyak digunakan oleh pengguna seluruh dunia, baik untuk tujuan pengangkutan, penghasilan tenaga elektrik, aktiviti penghasilan di industri-industri berat, peperangan dan lain-lain. Kehidupan seharian seluruh umat manusia masakini terlalu bergantung pada produk-produk hydrokarbon (petroleum dan gas) ini, sehinggakan Daniel Yergin, seorang sejarawan minyak yang masyhur dengan adikarya beliau, The Prize; The Epic Quest for Oil, Money, and Power, mengeluarkan kenyataan yang berani sekali untuk mencerminkan ‘kegilaan’ masharakat abad ke-21 terhadap minyak dengan kata-kata berikut; ‘Masharakat kita kini dahagakan minyak!’


1.png


Pada kacamata orang awam dan pengguna minyak sehari-harian, kehidupan ‘moden’ berasaskan penggunaan minyak ini merupakan suatu hal yang tidak asing lagi dan sudah menjadi kebiasaan. Sungguhpun mutakhir ini harga minyak semakin menjadi isu yang mendapat perhatian masharakat kebanyakan, namun, keprihatinan mereka terhadap hal-hal berkaitan minyak hanyalah seputar harga minyak yang turun naik dalam pasaran, dan bagaimana ianya mempengaruhi kos kehidupan seharian mereka. Tidak lebih dari itu. Masharakat kebanyakan akan bersedih dan merungut tatkala harga minyak naik, (kerana harga barangan lain juga turut dijangka akan naik), dan bergembira tatkala harga minyak turun.

Tak ramai yang mampu menganalisa fenomena ekonomi dan politik minyak ini menjangkaui kepompong perbahasan ‘kos sara hidup rakyat’. Minyak, pada kebanyakan orang, telahpun menjadi salah satu elemen yang sebati dengan kehidupan mereka. Andai kita telusuri sejarah industri minyak dunia, minyak hanya mula dilombong secara besar-besaran bermula pertengahan abad ke-19 (1860-an) dan hanya digunakan sebagai bahan bakar automobil sekitar empat puluh tahun selepasnya.

Disebabkan minyak dan kenderaan motokar telahpun wujud (dan dihasilkan secara besar-besaran dalam skala yang tak pernah terlihatkan sepanjang sejarah manusia) sejak awal kelahiran generasi kita ini, sebuah kehidupan yang tidak bergantung kepada minyak adalah sesuatu yang tak terbayangkan – dan pada sesetengah manusia – dianggap primitif! Padahal sejarah manusia selama puluhan ribu tahun menunjukkan bahawa, walaupun tanpa kenderaan berenjin pembakaran dalaman (internal combustion engine), masa perjalanan yang jauh lebih panjang, dan paling penting, tanpa minyak, manusia mampu membina peradaban dan ketamadunan yang agung dan besar-besar; sesetengah daripadanya mempunyai sempadan geografi yang menjangkaui tiga benua!


2.png


Minyak dan gas (sumber tenaga hydrokarbon) memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada hanya menentukan harga barangan di pasaran. Sejak pertumbuhan industri minyak secara pesat lebih kurang 160 tahun yang lepas, minyak telah memberikan impak dan meninggalkan kesan yang cukup besar kepada wajah politik dan ekonomi dunia. Puluhan konflik geopolitik abad ke-20 dan 21 dapat kita temukan akarnya pada pergelutan merebut bekalan minyak. Campur tangan kerajaan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar dunia lain dalam politik Timur Tengah dalam kempen ‘perang melawan terorisma’, pada kaca mata ramai penganalisis politik ekonomi, semakin jelas keterkaitannya dengan usaha memelihara bekalan minyak mentah ke Amerika Syarikat dan benua Eropah.

Minyak juga mendapat tempat dalam kebanyakan analisis politik dunia sebagai sumber konflik dan pergelutan, baik bersifat dalaman mahupun luaran, pada negara-negara seperti Angola, Sudan, Nigeria dan Indonesia. Walaupun hubungan sebab-akibat yang jelas antara minyak dan konfik di kawasan ini tidaklah bersifat konkrit (akibat wujudnya punca-punca pergelutan lain, yang adakalanya tidak terkait langsung dengan politik ekonomi minyak), peranan minyak selaku salah satu penyumbang kepada tercetusnya perbahalahan politik di kawasan-kawasan tersebut tidak wajar diketepikan.

Penggunaan minyak dan bahan bakar dalam skala gergasi mutakhir ini juga membangkitkan permasalahan dan isu-isu alam sekitar, pemanasan global, dan krisis tumpahan minyak yang memusnahkan ekosistem di banyak tempat. Sifat kapitalisma abad ke-21 yang membenarkan modal dipusatkan dan dimiliki oleh beberapa syarikat multinasional, bersekali dengan kepentingan strategik minyak terhadap kerajaan-kerajaan tertentu, menyebabkan wujudnya hubungan yang unik antara banyak kerajaan dan syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai pengaruh cukup besar terhadap dasar luar negara kerajaan-kerajaan tersebut. Hal-hal penting dan isu-isu besar ini, semuanya tidak pernah bangkit, melainkan setelah munculnya era minyak pada pertengahan 1860-an.

Dari mana ‘kegilaan dan kehausan masharakat dunia’ yang digambarkan Yergin ini bermula? Bagaimana ceceair hitam likat berbau tengik yang mengambil masa jutaan tahun untuk terbentuk jauh di kerak bumi, disedut keluar oleh tangan-tangan manusia dalam skala yang maha besar tak pernah disaksikan oleh sejarah manusia sejak azali, dan merobah langsung lanskap politik dan ekonomi dunia, meruntuhkan sesetengah kerajaan di atas muka bumi, dan menaikkan kerajaan yang lainnya? Siapa yang bertanggungjawab di atas perubahan-perubahan ini, dan siapa pula yang mendapat manfaat daripadanya?

Persoalan-persoalan penting ini harus kita ajukan dalam usaha kita memahami selirat rangkaian hubungan kuasa dan politik antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan industri minyak global. Mengapakah persoalan-persoalan ini harus menjadi sebahagian daripada keresahan pelajar ekonomi hari ini? Jawapannya mudah; sebarang bentuk analisa ekonomi dunia tidak akan sesekali lengkap tanpa pemahaman yang jelas terhadap hubungan politik ekonomi minyak antara kuasa-kuasa besar dunia, pergelutan dan ‘survival’ ekonomi pengeluar minyak utama dunia, peranan syarikat-syarikat pengeluar minyak gergasi serta keupayaan mereka mempengaruhi dasar luar kebanyakan negara di pentas antarabangsa. Analisis lanskap ekonomi dunia yang tempang bakal menatijahkan polisi dan dasar yang tempang pula. Sesetengah pelajar ekonomi hari ini begitu pantas mengecam pihak tertentu disebabkan kenaikan harga minyak di pasaran, (kerajaan tempatan, misalnya) tanpa memahami lojik dan dinamika hubungan antarabangsa yang sebenarnya jauh lebih kompleks daripada perubahan harga minyak yang dipamerkan pada pam minyak di stesen-stesen minyak tempatan.

Wujud banyak cara untuk kita cuba mendapatkan kefahaman mengenai sesuatu subjek atau disiplin dalam skop yang menyeluruh. Pada hemat saya, kaedah terbaik adalah dengan pengkajian sejarah. Kerana dengan menelusuri akar dan asal usul sesuatu subjek kajian, kita mampu – secara tidak langsung – memahami evolusi dan dinamika perubahan keseluruhan subjek tersebut, sejak ianya mula wujud, sehinggalah keadaannya seperti masa kini. Kerana inilah, inisiatif untuk mengkaji dan mempersembahkan dapatan kajian mengenai sejarah minyak saya dan teman-teman dari Syntax mulakan, agar – kalaupun tidak mampu memberikan gambaran yang benar-benar lengkap dan tepat – setidak-tidaknya mampu memberikan sedikit petunjuk kepada teman-teman tentang bagaimana menyantuni persoalan-persoalan penting dan besar di atas. Bermula minggu ini, siri ‘Sejarah Politik Ekonomi Minyak’ bakal diterbitkan di laman Syntax (inisiatif BECS Council IIUM) untuk membahaskan dan berkongsi dapatan kajian sejarah politik ekonomi minyak. Ayuh kita mulakan pengembaraan sejarah kita ini, dengan memahami tiga tema besar yang bakal menjadi ‘pasak’ perbahasan siri sejarah Politik Ekonomi Minyak kita yang akan datang;

Tiga Tema Besar Sejarah Minyak Dunia

Dalam bahagian ‘prologue’ The Prize, Daniel Yergin mengetengahkan tiga tema utama yang dapat kita perhatikan sepanjang perkembangan sejarah industri minyak dunia. Siri susulan kepada siri pendahuluan sejarah politik ekonomi minyak ini nantinya akan berpasak kepada ketiga-tiga tema besar ini, dan kita akan lihat bagaimana disebalik fenomena-fenomena sejarah yang seakan-akan tidak terkait antara satu sama lain tersimpan manifestasi kepada tema-tema tersebut.


3.png


Pertama, kebangkitan dan perkembangan kapitalisma dan perniagaan ‘moden’. Industri dan perniagaan minyak merupakan antara perniagaan terbesar dunia, dan antara industri gergasi yang paling agung yang mucul pada pernghujung abad ke-19. Standard Oil (kita akan telusuri sejarah jatuh bangun syarikat konglomerat gergasi ini nanti) yang merupakan syarikat pengeluar minyak pertama yang memonopoli hampir keseluruhan jual beli minyak pada satu masa di Amerika Syarikat, merupakan antara syarikat multinasional abad ke-20 pertama dan terbesar pada zamannya di dunia.

Kita pun tahu bagaimana dunia kita hari ini dibentuk oleh pengaruh dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh syarikat multinasional yang sesetengahnya mempunyai saiz aset melangkaui keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK/GDP) negara-negara membangun dan miskin bukan? Industri minyaklah pelopor awal kepada pembentukan syarikat-syarikat semacam ini! Pertumbuhan syarikat seperti Standard Oil menatijahkan penemuan-penemuan baru dan evolusi dalam bidang perniagaan, strategi korporat, hubungan antara syarikat dan kerajaan, sehingga membentuk lanskap perniagaan dan perdagangan antarabangsa yang kita kenali hari ini. Minyak merupakan sumber penjana kekayaan yang cukup besar, kepada individu-individu tertentu, syarikat-syarikat pengeluar minyak dan kerajaan. Bak kata seorang taikun minyak terkemuka, Robert O. Anderson, “Minyak ini, ibarat duit!”.

Kedua, minyak merupakan komoditi (barangan yang dijual di pasaran) yang dipengaruhi dan mempengaruhi strategi politik nasional banyak negara, politik global, dan perebutan kuasa sesama mereka. Pentas Perang Dunia 1 menjadi saksi bahawa petroleum harus diiktiraf sebagai salah satu elemen yang membentuk kekuasaan nasional sesebuah kerajaan, tatkala kenderaan peperangan menggunakan enjin pembakaran dalaman (internal combustion engine) – yang beroperasi menggunakan petroleum – menggantikan lokomotif berenjin wap yang beroperasi menggunakan arang batu.

Petroleum juga memainkan peranan yang kritikal dalam menentukan nasib dan strategi negara-negara yang menyertai Perang Dunia Kedua, kedua-dua di Timur dan Barat dunia ketika itu. Di Timur, tentera Jepun (yang tekad ingin menawan telaga minyak di kawasan Borneo dan Asia Tenggara, khususnya Sumatera disebabkan kekurangan bekalan minyak yang teruk), mengambil keputusan untuk melaksanakan serang hendap terhadap Pearl Harbor (pangkalan tentera Amerika Syarikat ketika itu) bagi memastikan kempen peperangan Jepun ke Selatan (menawan Indo-China, Tanah Melayu, Singapura dan telaga minyak di Borneo dan Sumatera) berjaya. Amerika Syarikat bertindak membalas serangan Jepun, dengan terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua, yang akhirnya meranapkan Hiroshima dan Nagasaki dengan gugusan bom atom.

Di Barat, Hitler yang bercita-cita menakluk Soviet Union dan mewujudkan empayar Reichnya yang agung itu, gagal setelah berjaya meluaskan kempennya sejauh Mesir dan hampir menakluk Moscow, disebabkan kekurangan bekalan minyak yang berpunca daripada kegagalan menawan telaga minyak di Baku, daerah yang dikawal Soviet. Ketiadaan bekalan minyak bererti keseluruhan angkatan tentera (yang mana, pada Perang Dunia Kedua sangat bergantung kepada trak, kereta kebal dan kapal perang untuk menjamin mobilasi ketenteraan) jatuh lumpuh dan tersadai! Kesemua episod peperangan di atas, berpunca daripada usaha menawan bekalan minyak, suatu gambaran betapa besarnya peranan dan kepentingan minyak dalam peperangan.

Perang Dunia ke-2 menginsafkan ramai ahli politik dunia bahawa, minyak bukan sahaja merupakan ‘darah’ kepada perniagaan dan kapitalisma, akan tetapi terbukti merupakan ‘darah’ juga kepada peperangan dan sistem pertahanan nasional. Tanpanya, ekonomi domestic sesebuah negara dan pertahanannya bakal lumpuh, dan negara tersebut lebih terdedah kepada ancaman politik dan ketenteraan antarabangsa.

Perang Dingin, konflik-konflik antarabangsa seperti Krisis Suez 1956, krisis politik di Timur Tengah, kebanyakannya terkait (dari satu sudut atau lainnya) dengan minyak. Drama dekolonisasi yang muncul pada tahun-tahun Perang Dingin berlaku, kebanyakannya berputar sekitar pertarungan untuk mengawal bekalan minyak antara syarikat multinasional minyak dan semangat nasionalisme yang muncul dalam negara-negara pasca kolonial. Kini setelah tamatnya Perang Dingin, pergelutan ekonomi seringkali menjadi punca tercetusnya konflik antarabangsa – menggantikan pertarungan ideologi antara kapitalisma dan komunisma yang menjadi ciri utama Perang Dingin. Dan pergelutan-pergelutan ekonomi ini pula, seringkali berkait rapat dengan usaha untuk menakluk industri dan bekalan minyak antarabangsa.


4.png


Tema yang ketiga dan terakhir; sejarah minyak menunjukkan bagaimana masharakat ‘moden’ hari ini semakin lama semakin menjadi “masharakat hydrokarbon”, dan sepertimana yang diusulkan oleh sesetengah ahli antropology, kita kini telah menjadi “manusia hydrokarbon”! Pada dekad petama kemunculannya, perniagaan minyak berkisar sekitar jual beli minyak tanah (kerosene) yang amat diperlukan sebagai sumber cahaya yang stabil menggantikan minyak daripada lemak haiwan yang sebelumnya digunakan sebagai sumber pencahayaan. Perlombongan minyak mentah dahulunya tidak bertujuan untuk mendapatkan petroleum, akan tetapi, minyak mentah yang dikeluarkan daripada perut bumi diproses untuk menghasilkan ‘kerosene’/minyak tanah. Pada tahap ini pun, manusia di Amerika Syarikat (tempat kelahiran industri minyak dunia) sudah tergila-gilakan minyak tanah, disebabkan kemampuannya memberikan ‘cahaya baru’ terhadap dunia industri Amerika Syarikat.

Kemunculan minyak tanah bererti operasi kilang-kilang dan industri-industri di Amerika mampu dilanjutkan ke waktu lewat malam, yang mana sebelumnya adalah mustahil disebabkan ketiadaan sumber cahaya yang stabil. John D. Rockefeller, pengasas Standard Oil menjadi kaya-raya disebabkan penjualan ‘sumber cahaya baru’ inilah! Kerosene dijual di serata dunia, khususnya di negara-negara industri di Eropah Barat dan dalam pasaran domestik Amerika. Petroleum, pada ketika itu cumalah produk sampingan pemprosesan minyak mentah yang dibuang di sungai-sungai ataupun dijual dengan harga serendah 20 sen segelen, disebabkan ketiadaan pasaran.

Hanya tatkala sistem bekalan arus elektrik ulang-alik (alternating current) dicipta oleh Nikola Tesla, diiringi dengan penciptaan mentol oleh Thomas Alva Edison, barulah kerosene hilang tempatnya selaku ‘sumber cahaya baru’ masharakat Amerika Syarikat dan Eropah. Penciptaan sistem bekalan arus ulang-alik dan mentol bererti cahaya lampu mampu dibekalkan ke rumah-rumah tanpa perlu bergantung kepada minyak tanah lagi. Industri minyak tidak terus mati disebabkan hilangnya peranan minyak tanah, akan tetapi, ibarat kemunculan langit terang disebalik mendung hujan, petroleum (yang dahulunya dianggap tiada nilai dan dibuang di sungai-sungai) menggantikan tempat kerosene selaku produk utama minyak, dengan penciptaan enjin empat lejang (four-stroke engine) dan pengeluaran motokar mengunakan enjin pembakaran dalaman oleh Henry Ford secara besar-besaran awal abad ke 1900an.

Sejak saat ini, minyak (dilengkapi dengan gas asli), merampas takhta sumber tenaga utama dunia industri daripada arang batu (yang telah digunakan sejak sekian lama) sekaligus merobah dengan bagitu radikal lanskap kehidupan kontemporari dan ‘moden’ kita hari ini. Manusia hari ini begitu bergantung kepada minyak, dan minyak merupakan antara elemen paling penting kehidupan kita, dan kita sudah begitu terbiasa dengan kewujudan minyak sehinggakan kita gagal menghargai dan merenung peranannya yang menular masuk dalam seluruh ceruk kehidupan kita. Minyaklah yang menggerakkan industri-industri kita, sekaligus membenarkan kita menikmati gaya hidup kita seperti hari ini. Minyak mengisi enjin-enjin kenderaan yang kita gunakan saban hari, dan menjadi ‘darah’ kepada kehidupan di mana-mana bandar di dunia. Sebuah dunia tanpa kewujudan minyak, pada sebahagian antara kita, adalah sesuatu yang tak terbayangkan, diluar batasan imaginasi kita.

Minyak, pada awal-awal kemunculannya, dianggap sebagai simbol kemajuan manusia, dan simbol sebuah peradaban baru global, sebuah orde baru dunia. Namun naratif ini kian hari kian dicabar, disebabkan kesan buruk dan dahsyat penggunaan minyak tak terkawal kepada kedua-dua alam sekitar dan kebergantungan manusia kepada minyak yang dilihat sebagai sesuatu yang cenderung membawa kecelakaan. Pembakaran produk hydrokarbon seperti minyak, arang batu, gas asli, membawa terlalu banyak kesan buruk kepada alam, sehinggakan dua tahun kebelakangan ini dicatat sebagai tahun ‘terpanas’ sepanjang sejarah manusia. Makin banyak gerakan ‘environmentalist’ dan gerakan ekologi yang ditubuhkan untuk – kalaupun tidak mampu mengehadkan penggunaan minyak ke tahap yang lebih ‘sustainable’ – mencabar naratif kehidupan masharakat moden yang terlalu dahagakan minyak tanpa menghiraukan kesannya kepada alam sekitar ini.


5.png


Namun, sehingga kini, tiada tanda-tanda “manusia hydrokarbon” benar-benar mahu melepaskan ‘kegilaan’ yang merasuk jiwanya. Seruan-seruan agar isu-isu alam sekitar diberi perhatian seringkali disantuni secara sambal lewa oleh pemimpin-pemimpin dunia. Walaupun sekian banyak cabaran dilontarkan kepada naratif kehidupan berasaskan produk hydrokarbon, “manusia hydrokarbon” masih enggan melepaskan keselesaan hidup berasaskan pembakaran produk minyak hitam likat ini. Ketiga-tiga tema besar inilah, yang bakal mendasari rihlah memahami sejarah pembentukan industri minyak dunia kita, selama lebih kurang sepuluh siri akan datang.

Sudah tiba masanya, pelajar ekonomi KENMS memahami dan menyelami sejarah industri terbesar dunia ini dan merenung persoalan-persoalan penting seputar kewujudannya, dan ‘kegilaan’ serta ‘kehausan’ manusia hydrokarbon’ terhadapnya. Renungan-renungan ini adalah amat penting, kerana masa depan dunia, bakal dicorak dengan jawapan-jawapan kita terhadap persoalan-persoalan yang amat menekan ini. Jumpa lagi pada siri yang akan datang! InshaAllah.

RUJUKAN
Yergin, D. (1991) The Prize, The Epic Quest for Oil, Money and Power, New York. Simon & Schuster Building, Rockefeller Center. pp. 13 – 15
Betts, A., Eagleton-Pierce, M., Roemer-Mahler, A. (2006, May) Editorial Introduction; The International Politics of Oil, Vol. 2, No. 1. 3 – 9.
 Editorial Dept. (2009, October 22) The Oil Industry and Its Effects on Global Politics. Retrieved 25th March 2017 from http://oilprice.com/Energy/Oil-Prices/The-Oil-Industry-And-Its-Effect-On-Global-Politics.html

Kredit : IIUM School of Economics (Syntax)
Pautan Asal : https://syntaxecons.wordpress.com/2017/03/30/siri-sejarah-ekonomi-politik-minyak-tinjauan-terhadap-bagaimana-cecair-hitam-likat-ini-menjadi-darah-kapitalisma-global-abad-ke-21/

Cikgu Salihin Mahu Lahirkan Grand Master Catur Pertama Malaysia

Pemuda ISMA bersama rombongan agensi lain melawat kediaman Cikgu Salihin BERITA | PEMUDA ISMA MELAWAT KELUARGA JAGUH CILIK CATUR...